PENGENALAN
Pengenalan Wayang Kulit
Wayang Kulit merupakan sejenis teater tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara sebelum kedatangan pelbagai seni hiburan dan persembahan moden yang kebanyakannya berasaskan media elektronik. Ia merupakan satu bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak methologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang. Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab). Wayang Kulit dipersembahkan dalam upacara atau perayaan tertentu. Fungsi Wayang Kulit ini adalah sebagai medium hiburan dan kadangkala dikaitkan dengan unsur ritual yang terdapat dalam sesuatu masyarakat. Seni persembahan ini tersebar dan membentuk satu identiti tersendiri dalam sesebuah masyarakat.